Pagi tadi saya [sebenarnya kami bertiga, saya bersama anak sulung, Esther dan si bongsu, Marya] menghadiri majlis penyerahan wang bantuan persekolahan RM100 di sekolah anak saya.
Sebaik sahaja sampai di perkarangan sekolah dalam jam 9.25 pagi, saya dapati ramai ibu bapa sudah sampai. Bersama-sama ibu bapa-ibu bapa dan pelajar lain, kami bertiga turut masuk ke dewan dan beratur mengikut kelas.
Sementara beratur menunggu giliran, saya sempat berbual dengan beberapa orang ibu bapa. Sempat juga saya mengorek pendapat mereka tentang pemberian wang tersebut oleh kerajaan. Rata-rata ibu bapa bersyukur dengan pemberian wang tersebut. Walaupun tidak besar jumlahnya, tetapi sekurang-kurangnya mampu meringankan beban, kata mereka. Lepaslah untuk membeli beberapa keperluan asas persekolahan anak-anak.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada guru yang bertugas, kami bertiga bergegas meninggalkan perkarangan sekolah. Awan hitam bertompok-tompok, seolah-olah memberi amaran bahawa hujan akan turun. Hujan rahmat, bisik hatiku. Semoga tahun depan akan ada lagi rezeki sebegini, aku tersenyum sendiri sambil mengingatkan riak gembira ibu bapa di dewan sekolah tadi.
No comments:
Post a Comment