"Orang Iban sememangnya master of language kerana mereka pandai menggunakan bahasa di setiap baris ayat, mencipta dan membina puisi dengan cantik, bijak dalam memilih dan menyusun ayat serta mempunyai banyak jenis puisi yang menggunakan penyusunan ayat yang sesuai dengan bunyi seperti yang digunakan dalam poem dan prose Bahasa Inggeris" Prof Derek Freeman, pengkaji bahasa Iban.

Friday, March 18, 2011

Tun Mahathir Mohamad

Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir bin Mohamad

Perdana Menteri Malaysia ke-4

Tempoh berjawat : 16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003

Tarikh lahir: 20 Disember 1925 (umur 85)

Tempat lahir: Alor Star, Kedah Darul Aman

Parti politik: UMNO

Pasangan: Dr. Siti Hasmah

Pekerjaan: Doktor

Agama: Islam

Latar Belakang
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det dilahirkan pada 20 Disember 1925, di Kedah. Beliau merupakan anak bongsu daripada 9 adik-beradik, keluarga Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi. Ayahnya, Mohamad Iskandar, adalah berbangsa India, anak kepada seorang Malayalee Muslim (yang berasal dari [Kerala], India) dan ibunya berbangsa Melayu. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah laki-laki melayu di seberang Perak, Alor Setar untuk tempoh 2 tahun sebelum menyambung di sekolah kerajaan beraliran Inggeris di Alor Setar iaitu di Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.
Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui peningkatan golongan miskin menjadi golongan pertengahan orang Melayu begitu ketara. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan tidak dapat lari dituduh bersifat kronisme seperti pemerintah-pemerintah lain di dunia.
Beliau juga merupakan seorang tokoh politik penting antarabangsa yang suka berterus-terang dan disifatkan kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).
Dr Mahathir telah bertanggungjawab dengan apa yang dipanggil pembangunan projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC), yang akhirnya menjadi lambang kemegahan rakyat dan diterima ramai.
Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Seperti dijangka pada Oct 2003, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia atas jasanya yang teramat besar pada nusa dan bangsa. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

Pendidikan
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.
Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Kerjaya dan keluarga
Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak beliau ialah :
• Marina Mahathir
• Mirzan Mahathir
• Melinda Mahathir
• Mokhzani Mahathir
• Mukhriz Mahathir
• Maizura
• Mazhar
Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.
Kini blog beliau terletak di http://www.chedet.cc/.

Garis masa
• 1925: Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 20 Disember.
• 1945: Mengambil bahagian dalam penentangan Malayan Union.
• 1946: Menjadi ahli UMNO semasa ia ditubuhkan.
• 1953: Mendapat ijazah perubatan dari Kolej Perubatan King Edward (yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Malaya) di Singapura;
• 1954: Berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Alor Star, Hospital Langkawi, Hospital Jitra dan Hospital Perlis.
• 1957: Berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik di Alor Setar.
• 1964: Dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar atas tiket Parti Perikatan selepas beliau menewaskan calon PAS, Mohd Shaari Haji Abdul Shukur, dengan majoriti 4,210 undi; Dr Mahathir mendapat 12,406 undi, sementara Mohd Shaari mendapat 8196 undi.
• 1965: Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO.
• 1968: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pelajaran Tinggi.
• 1969: Ditewaskan oleh calon Pas, Haji Yusoff Rawa dalam Pilihanraya pada 10 Mei, dengan 989 undi di kawasan Kotar Setar; beliau dikatakan kalah kerana kehilangan "undi Cina" apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak perlu undi Cina untuk memenangi dalam pilihanraya;
o Dipecat jawatan daripada Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, berikutan pengedaran suratnya kepada Tunku Abdul Rahman;
o Diberhentikan keahliannya dalam UMNO pada 26 September.
• 1970: Mengeluarkan buku dalam bahasa Inggeris yang bertajuk "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma); buku ini diharamkan dengan serentak.
• 1972: Diterima kembali menjadi ahli UMNO pada 7 Mac;
o Dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Perindustrian Makanan Malaysia (FIMA).
• 1973: Dilantik sebagai senator.
• 1974: Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Universiti Nasional;
o Melepaskan jawatan sebagai senator untuk bertanding di Pilihanraya 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding;
o Dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 5 September.
• 1975: Menjadi salah satu daripada tiga naib presiden UMNO, selepas memenangi dengan majoriti sebanyak 47 undi.
• 1976: Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada 5 Mac.
• 1978: Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Tun Hussein Onn pada 15 September;
o Melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelajaran untuk menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1 Jun 1978 - Julai 1981);
• 1981: Menjadi Presiden UMNO pada 26 Jun, dan Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada 10 Julai, berikutan perletakan jawatan Tun Hussein Onn atas sebab-sebab kesihatan;
o Menjadi Menteri Pertahanan (18 Julai, 1981 - 6 Mei, 1986) disamping memegang jawatan Perdana Menteri;
o Melancarkan slogan-slogan "Bersih, Cekap dan Amanah", "Kepimpinan Melalui Teladan", the "Dasar Pandang ke Timur", "Pemupukan Nilai-nilai Islam", dan polisi pemulauan barang UK ("Buy British Last");
o Mencepatkan masa sebanyak setengah jam di Semenanjung Malaysia untuk menyeleraskannya dengan Malaysia Timur;
o Meminta maaf daripada Tunku Abdul Rahman secara umum;
o Menarik balik pengharaman buku Dilema Melayu (The Malay Dilemma)
o Merancangkan serangan subuh dengan pengambilan kembali Guthrie Corporation oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) di Bursa Saham London pada 7 September, supaya memulangkan hakmilik lebih kurang 200,000 ekar tanah pertanian kepada rakyat Malaysia.
• 1983: Mengemaskinikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-sultan, supaya rang undang-undang yang diputuskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dapat menjadi akta, selepas penerimaan pendapat Yang Di-Pertuan Agung ataupun Sultan-sultan negeri masing-masing;
o Menubuhkan PROTON, sebuah projek kereta nasional.
• 1986: Datuk Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 27 Februari;
o Ghafar Baba dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia;
o Menjadi Menteri Dalam Negeri pada 7 Mei di samping memegang jawatan Perdana Menteri;
o Suatu pertikaian tertimbul dengan negeri Singapura tentang lawatan rasmi Chaim Herzog, Presiden negara Israel.
• 1987: Menewaskan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti yang nipis sekali pada 24 April;
o Menjadi Menteri Kehakiman di samping memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri Malaysia.
• 1988: Memecat empat hakim Mahkamah Tertinggi, termasuk Tun Salleh Abas kerana menghalang perbicaraan tentang salah laku tata tertib semasa kehadapan UMNO akan diputuskan oleh Mahkamah Tertinggi (pada masa itu, UMNO telah diharamkan oleh Makhamah Tinggi);
• 1990: Menjadi Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (Oktober 1990 - Januari 1999) di samping memegang jawatan Perdana Menteri.
• 1993: Melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri;
o Mengehadkan pengecualian Sultan-sultan daripada pendakwaan, selepas peristiwa Douglas Gomez;
o Perhubungan di antara Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin Australia merosot apabila Paul Keating mewajahkan Dr. Mahathir sebagai seorang yang degil ("recalcitrant") kerana enggan menghadiri Persidangan APEC.
• 1997: Menetapkan nilai mata wang Malaysia pada 1 September supaya mengatasi Krisis Kewangan Asia 1997.
• 1998: Memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semua jawatan dalam kerajaan dan dalam UMNO pada 2 September;
o Mendakwa Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat dan penyalahgunaan kuasanya; Anwar dihadapkan ke mahkamah pada 2 November;
o Pergaulan dengan Amerika Syarikat menjadi buruk apabila Al Gore, Naib Presiden Amerika Syarikat, merendahkan nama baik negara Malaysia di Persidangan APEC yang pada masa itu dianjurkan oleh Malaysia.
o Melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri;
o Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, yang menelan kos sebanyak RM13 bilion;
o Penghabisan pembinaan Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 88 tingkat, iaitu menara berkembar yang tertinggi di dunia;
o Dipilih sebagai "Asia's Newsmaker of 1998" oleh Majalah TIME.
• 1999: Menjadi Menteri Kewangan Pertama pada 8 Januari, di samping memegang jawatan Perdana Menteri ketika Malaysia masih mengalami Krisis Ekonomi 1997;
o Pembukaan rasmi Cyberjaya, sebuah bandar yang baru yang memainkan peranan yang penting dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia.
• 2001: Menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (5 Jun 2001) disamping memegang jawatan Perdana Menteri.
• 2002: Mengumumkan penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan mata pelajaran Matematik dan Sains, mulai tahun 2003;
o Mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi telah dirayu untuk membuat penangguhan selama 18 bulan.
• 2003: Bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober, 2003 dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi, sebagai pengganti; beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun, dan terjadi salah satu daripada pemimpin-pemimpin negara Asia yang paling lama perkhidmatannya;
o Dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia.
• 2008: Dianugerahkan Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) membawa gelaran "Datuk Seri Utama".
Sumber: Wikipedia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...