Hahaha....nampaknya ramalan banyak pihak tentang kemenangan calon popular dari PKR di N34 Krian tidak silap. Kemenangan Ali Biju menewaskan calon BN iaitu Nyarok Enteri merupakan kemenangan bergaya dengan majoriti 2090 undi. Ini merupakan petanda bahawa penduduk di Krian mahukan pembaharuan dan dahagakan kepimpinan yang lebih dekat dengan mereka. Saya difahamkan calon PKR sudah bergerak untuk tempoh yang lama sebelum menjelangnya tarikh penamaan calon. Ali Biju sering turun padang, mendekati pengundinya. Saya percaya, inilah antara faktor kejayaan beliau selain 'kemarahan' rakyat akan banyak janji BN yang tidak ditunaikan meskipun sudah beberapa siri pilihan raya DUN berlalu.
Semalam, saya sempat menonton analisis pilihan raya Sarawak di TV SATU. Saya sangat tertarik dengan 3 kenyataan ahli panel iaitu, DR Jeniri Amir. Beliau mengatakan;
1. Kerajaan [BN] tidak semestinya betul dan pembangkang tidak semestinya salah dan begitulah sebaliknya. Perlu ada check and balance. Kelangsungan pembangkang perlu demi menegur 'kesilapan' kerajaan yang memerintah. Dengan kata lain, pembangkang bukan semestinya kumpulan yang 'jahat' dan tidak semua dasar ataupun polisi kerajaan itu betul sehingga rakyat tidak boleh mempersoalkannya.
2. BN harus menunaikan segala janji yang pernah ditabur bukan hanya pada pilihan raya kali ini tetapi juga janji-janji yang pernah 'dimeterai' dalam pilihan raya yang lepas-lepas. Jangan menunggu sehingga rakyat 'marah'. Kita percaya, pengundi muda yang lebih terbuka pemikiran dan terdedah kepada perkembangan semasa tidak mudah termakan janji manis dan 'putar belit' fakta oleh wakil rakyat. Adalah salah satu kesilapan besar jika wakil rakyat berasa diri sudah begitu selesa bila bertanding atas tiket BN tanpa perlu memikirkan bagaimana membantu menyelesaikan masalah rakyat dan membangunkan kawasan setempat. Bak kata Dr. Jeniri, kalau wakil pembangkang gagal menunaikan janji, itu tak mengapa kerana mereka bukan pemerintah tetapi bahagimana pula wakil rakyat BN yang gagal mengotakan janji mereka?
3. Menurut kajian beliau, PM kita merupakan jenama yang sangat laku di Sarawak sepanjang kempen tempoh hari. Kehadiran PM di beberapa kawasan 'panas' banyak membantu calon di kawasan tersebut untuk mendapat kembali sokongan pengundi. Persoalannya kenapa pengundi di kawasan tersebut lebih mempercayai 'kata-kata' PM berbanding wakil BN? Adakah kerana mereka sudah jelak dengan janji manis yang tidak pernah ditunaikan oleh wakil rakyat mereka? Atau adakah kerana itulah kali pertama PM berjanji kepada pengundi setempat dan janji PM lebih 'bisa'?
Semoga N34 Krian terus aman makmur dan terus membangun seiring dengan pembangunan di kawasan-kawasan lain. Wakil rakyat yang sudah dipilih harus belajar daripada sejarah wakil rakyat yang lepas. Fahami inspirasi dan kehendak masyarakat. Sebagai orang tempatan, wakil rakyat yang baru dipilih seharusnya lebih mengetahui kesusahan dan keperitan masyarakat setempat. Jadi, mulakan misi untuk membantu rakyat jelata yang sudahpun memilih anda. Usah menjauhkan diri dari rakyat dan berselindung di sebalik kerusi empuk yang boleh menyebabkan seseorang itu ngantuk tersenguk-senguk.
Terima kasih orang N34 Krian kerana sudah menunaikan tanggungjawab anda!
No comments:
Post a Comment