"Orang Iban sememangnya master of language kerana mereka pandai menggunakan bahasa di setiap baris ayat, mencipta dan membina puisi dengan cantik, bijak dalam memilih dan menyusun ayat serta mempunyai banyak jenis puisi yang menggunakan penyusunan ayat yang sesuai dengan bunyi seperti yang digunakan dalam poem dan prose Bahasa Inggeris" Prof Derek Freeman, pengkaji bahasa Iban.

Tuesday, April 19, 2011

Teknik Berucap di Khalayak Dengan Yakin

Situasi 1

Mat: Apa perasaan kau bila cikgu minta kau bentangkan tugasan di depan kelas?
Ali: Alamak...takutnya. Mengingatkannya sudah membuatkan aku seram sejuk. Kau?
Mat: Aku ok aje. Mula-mula dulu, memang terketar lutut dibuatnya. Sekarang ni dah kurang sikit darah gemuruh aku.

Situasi 2
Cikgu Nisa: Dalam mesyuarat kurikulum akan datang, setiap ketua panitia diminta membentangkan analisis keputusan peperiksaan yang lepas.
Cikgu Nani: Itulah yang aku risau. Aku ni, bab-bab berucap di depan memang lemah sedikit. Gabra semacam bila berucap di depan orang ramai.

Itu adalah antara situasi yang hampir setiap daripada kita pernah atau sedang alami. Berucap di depan khalayak memang bukan perkara yang mudah tetapi bukan bermakna ia terlalu sukar. Di dalam bukunya yang bertajuk The Book Of Lists, David Wallechinsky [1977] menyatakan bahawa pengucapan awam merupakan perkara yang paling ditakuti oleh rakyat Amerika Syarikat.

Antara persoalan yang sering mengganggu emosi kita ketika diminta berucap di depan orang ramai ialah;
i. Ramainya orang. Semuanya memandang ke arah saya.
ii. Alamak, bagaimana kalau aku tersilap cakap.
iii. Malunya, mereka akan mentertawakan aku.
iv. Jangan-jangan, para audiens lebih tahu tentang perkara yang akan aku sebut nanti?


Jadi jelaslah bahawa perasaan takut semasa berucap di khalayak ramai adalah satu bentuk perasaan yang diwujudkan oleh individu itu sendiri berdasarkan andaian-andaian negatif.

Lily Walters iaitu pengarah eksekutif Walters International Speakers Bureau menyatakan bahawa perasaan gemuruh ketika berucap boleh diatasi dengan;
i. Membuat persediaan rapi dan latihan [75%]
ii. Menarik nafas dalam-dalam dan kemudian melepaskannya [15%]
iii. Persiapan mental [10%]


Petua Berucap Dengan Yakin

1. Berdoa dan menarik nafas sebelum memulakan ucapan
- Mohon ketenangan dan keyakinan diri.

2. Berpakaian mengikut suasana
- Penting bagi mengelakkan rasa janggal dan canggung. Kita memerlukan 'keselesaan diri' sebelum berucap. 'Kesilapan' dalam berpakaian akan membuatkan kita rasa pelik, serba tak kena sehingga emosi kita menjadi tidak stabil.

3. Cari wajah audiens yang dapat membantu kita
- Wajah audiens yang mudah tersenyum dan memberi respon yang baik kepada kita contohnya audiens yang mudah mengangguk [bukan ngantuk]. Tetapi ingat, kita berucap di khalayak ramai. Jangan sampai ada audiens terasa mereka diabaikan.

4. Mewujudkan hubungan yang mesra dengan audiens
- Bertanya khabar dan jika ada yang kita kenal, sebutlah nama mereka sebagai penghargaan. Ucapkan terima kasih atas kesudian mereka menghadirkan diri.

5. Gunakan alat bantu
- Penggunaan nota, LCD atau powerpoint membantu kita mengingat isi ucapan dengan baik. Selain menarik perhatian audiens, ia juga menjadikan ucapan kita lebih tersusun sekaligus meningkatkan keyakinan kita.

6. Mengalihkan tumpuan audiens
- Untuk mengurangkan rasa gementar, kita juga boleh menggunakan kaedah pengelibatan audiens dengan meminta mereka melakukan aktiviti ringkas dan dalam masa yang sama kita dapat menenangkan diri.

7. Mengingati kejayaan-kejayaan yang pernah kita kecapi
- Kejayaan-kejayaan tersebut merupakan bukti yang kita mampu menempuh dugaan. Faktor ini sekaligus akan mengingkatkan keyakinan dalam diri kita.

8. Terima hakikat bahawa tidak ada manusia yang sempurna
- Harapan diri yang terlampau tinggi untuk menjadi 'pemidato' yang hebat kadang kala memberi tekanan kepada kita sehingga kita berasa kita tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Jadi, cubalah bersikap bersahaja dan jika berlaku kesilapan, cuba jadikan ia seolah-olah lucu. Bukankah suasana akan menjadi lebih santai apabila audiens dan kita ketawa?

9. Lakukan pergerakan
- Berjalan atau minta izin untuk minum seketika adalah antara gerakan yang boleh mengurangkan rasa gemuruh kita. Tarik nafas dengan panjang. Kajian mendapati dengan menarik nafas secara dalam kita dapat mengurangkan 15% rasa gemuruh.

10. Berikan tumpuan kepada ucapan kita
- Rasa gemuruh juga dapat dikurangkan dengan memberikan fokus kepada mesej yang ingin kita sampaikan. Gunakan beberapa patah kata yang hebat untuk menarik perhatian audiens. Bila audiens memberi respon yang baik, kita akan menjadi lebih bersemangat sehingga lupa untuk takut!

BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...